KABUL: Pihak berkuasa Taliban didakwa menyembur serbuk lada terhadap peserta protes wanita di ibu negara Afghanistan yang menuntut hak untuk bekerja dan akses pendidikan.
Lapor AFP, perkara itu diberitahu oleh tiga peserta protes wanita selepas 20 wanita berhimpun di depan Universiti Kabul, semalam.
Mereka menjerit dan melaungkan slogan ‘kesaksamaan dan keadilan’ serta membawa sepanduk ‘hak kebebasan wanita’.
Protes tersebut bagaimanapun berjaya disuraikan oleh kumpulan Taliban yang tiba di lokasi tersebut menaiki beberapa kenderaan.
“Semasa kami berada berdekatan Universiti Kabul, pejuang Taliban datang dekat dan menggunakan penyembur serbuk lada terhadap kami.
“Mata kanan saya mula pedih dan saya terus menjerit ‘kamu memalukan’. Kemudian, mereka mengacukan senjata ke arah saya,” luahnya.
Sementara itu, dua peserta protes lain berkata, salah seorang wanita terpaksa dikejarkan ke hospital selepas semburan tersebut menyebabkan kesan alergi pada bahagian mata dan wajah mangsa.