TAIPEI: Tentera udara Taiwan menangguhkan latihan tempur pesawat F-16 selepas salah sebuah model jet pejuang yang dinaik taraf baru-baru ini, terhempas ke laut.
Jet F-16V, model paling canggih dalam pesawat Taiwan dilaporkan terhempas di laut Dongshi, kira-kira 2.3 kilometer (km) dari Pangkalan Udara Chiayi, selatan Taiwan.
Lapor CNN, Kementerian Pertahanan Taiwan memaklumkan jet pejuang F-16V hilang dari radar setelah berlepas dari Pangkalan Udara Chiayi untuk misi latihan.
Presiden Taiwan, Tsai IngWen mengarahkan operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan serta merta.
Menurut Rescue Command Centre Taiwan, beberapa saksi melihat jet pejuang itu terhempas ke laut serta helikopter dan kapal dikerahkan untuk mencari juruterbang pesawat berkenaan.
Sementara itu, Inspektor Jeneral Tentera Udara, Liu Hui Chien memaklumkan pesawat pejuang tersebut baru sahaja dinaik taraf kepada versi ‘V’ yang dilengkapi sistem senjata dan avionik baharu. – AGENSI