Pegawai kesihatan Indonesia lawat Israel bincang strategi Covid-19 - Utusan Malaysia

Pegawai kesihatan Indonesia lawat Israel bincang strategi Covid-19

ITAY Tagner (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Prabowo Subianto di Bahrain pada November lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Delegasi pegawai Indonesia baru-baru ini membuat lawatan ke Israel bagi membincangkan strategi Covid-19, walaupun negara itu tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan rejim Tel Aviv.

The Times of Israel melaporkan, pegawai kesihatan Indonesia mengadakan pertemuan dengan pegawai Israel dalam usaha ‘mempelajari cara menangani pandemik Covid-19’.

Laporan itu tidak menyatakan bila lawatan itu diadakan.

Army Radio melaporkan, lawatan tersebut adalah sebahagian daripada usaha pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden untuk mengeratkan hubungan antara negara dengan harapan mengembangkan Perjanjian Abraham, yang menormalisasikan hubungan antara Israel dan negara-negara Islam.

Kementerian Luar tidak mengesahkan laporan itu, tetapi mengatakan, Israel ‘percaya kepada kerjasama antarabangsa dalam setiap hal untuk memerangi Covid-19’ dan bersedia untuk berkongsi maklumat serta pengalaman.

Israel dan Indonesia tidak mempunyai hubungan diplomatik, tetapi selama bertahun-tahun terdapat cadangan saluran belakang untuk mewujudkan hubungan rasmi.

Indonesia, negara Islam terbesar di dunia, telah menolak untuk menormalkan hubungan dengan Israel sehingga negara Palestin yang merdeka ditubuhkan, dan telah menjadi penyokong tegar Palestin.

Bulan lalu semasa lawatan ke Jakarta, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dilaporkan membangkitkan idea negara itu menyertai Perjanjian Abraham yang diuruskan di bawah pentadbiran AS, yang menyaksikan Israel menormalkan hubungan dengan empat negara Arab.

Pada November lalu, Charge d’affaires Israel di Bahrain mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dalam interaksi awam yang jarang berlaku antara pegawai dari negara itu.

Pertemuan antara Itay Tagner dan Prabowo berlaku di luar persidangan Dialog Manama.

Pegawai AS memberitahu The Times of Israel awal tahun ini bahawa pentadbiran AS sebelum ini telah menetapkan Indonesia dan Mauritania sebagai negara Islam seterusnya untuk menormalkan hubungan dengan Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya