LONDON: Jepun dan Singapura menduduki tempat pertama dalam senarai pasport paling berkuasa di dunia.
Passport Malaysia di tangga 12 dengan 179 destinasi bebas visa.
Penilaian itu berdasarkan laporan pertama tahun 2022 yang dikeluarkan oleh firma Henley & Partners.
Lapor CNN, firma yang berpangkalan di London itu bertanggungjawab meneliti pasport perjalanan paling mesra di dunia.
Bagaimanapun, senarai penarafan itu tidak mengambil kira sekatan perjalanan sementara yang dilaksanakan ketika pandemik Covid-19.
Menurut Henley & Partners, pemegang pasport Jepun dan Singapura boleh mengembara tanpa permohonan awal visa ke 192 destinasi.
Jerman dan Korea Selatan berada di tangga kedua dengan akses ke 190 destinasi tanpa perlu memohon visa terlebih dulu.
Finland, Itali, Luxembourg dan Sepanyol di tempat ketiga dengan rakyat negara itu mampu memasuki 189 destinasi tanpa visa.
Austria, Denmark, Perancis, Belanda dan Sweden menduduki tangga keempat dengan akses ke 188 destinasi manakala Ireland dan Portugal di tempat kelima dengan kunjungan tanpa visa ke 187 destinasi.
Indeks kedudukan pasport itu dibuat berdasarkan data dari Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang merangkumi 199 pasport dan 227 destinasi perjalanan.
Berikut senarai pasport terbaik dimiliki 2022:
- Jepun, Singapura (192 destinasi)
- Jerman, Korea Selatan (190 destinasi)
- Finland, Itali, Luxembourg, Sepanyol (189 destinasi)
- Austria, Denmark, Perancis, Belanda, Sweden (188 destinasi)
- Ireland, Portugal (187 destinasi)
- Belgium, New Zealand, Norway, Switzerland, United Kingdom, Amerika Syarikat (186 destinasi)
- Australia, Kanada, Czech Republic, Greece, Malta (185 destinasi)
- Poland, Hungary (183 destinasi)
- Lithuania, Slovakia (182 destinasi)
- Estonia, Latvia, Slovenia (181 destinasi)