Merompak, lakukan serangan seksual: Lelaki dihukum penjara 22 tahun, 24 sebatan - Utusan Malaysia

Merompak, lakukan serangan seksual: Lelaki dihukum penjara 22 tahun, 24 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR SERI BEGAWAN: Seorang lelaki warga tempatan dijatuhi hukuman penjara 22 tahun dan 24 kali sebatan oleh Mahkamah Perantaraan kerana didapati melakukan jenayah rompak dan juga melakukan serangan seksual.

Pelita Brunei melaporkan, tertuduh, Mohammad Faizul Helmey Ahmad Umar, 33, melakukan kesalahan tersebut pada 18 Oktober 2021 di kawasan Bengkurong.

Hakim Pengiran Masni Pengiran Bahar ketika menjatuhi hukuman memberikan penekanan kepada faktor memburukkan kes, di mana Mohammad Faizul Helmey melakukan kesalahan tersebut dalam jarak masa yang singkat, mengambil kira dua sabitan kesalahan terdahulu yang melibatkan rompakan.

Timbalan Pendakwa Raya Atiyyah Azzahra Abas menyatakan kepada mahkamah bahawa pada pagi 18 Oktober 2021, defendan sedang menunggang basikalnya di Bengkurong apabila seorang wanita berusia 42 tahun berhenti untuk bertanya kepada defendan mengenai alamat rumah seseorang.

Wanita tersebut menurunkan tingkap keretanya dan bercakap dengan tertuduh apabila tertuduh menawarkan diri untuk menunjukkan jalan.

Di dalam kereta, tertuduh menunjukkan arah secara ringkas dan kemudian tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau untuk mengancam mangsa.

Tertuduh kemudian menumbuk perut mangsa, menampar muka dan memaksa mangsa keluar dari kereta.

Namun mangsa enggan menurut kemahuan tertuduh menyebabkan tertuduh mengambil alih pemanduan dan memandu menuju ke kawasan terpencil, di mana tertuduh bertindak melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap mangsa.

Tertuduh kemudian meninggalkan mangsa di tepi jalan sebelum melarikan kereta mangsa dengan membawa bersama beg tangan mangsa.

Tertuduh ditahan pada 30 November 2021 dan pihak polis mendapati tertuduh menukar warna kereta dan nombor plat lesen kereta tersebut sebelum meninggalkannya di kawasan komersial di Tungku Link.

Plat lesen kenderaan yang ditukar tersebut merupakan hasil yang dicurinya daripada sebuah kereta di bengkel yang terletak di Kampung Telisai, Tutong pada Ogos 2021.

Siasatan lanjut mendapati, tertuduh juga menawarkan seorang wanita warga Indonesia untuk menaiki kereta tersebut ketika tertuduh menghampirinya di perhentian bas di Kampung Tungku pada 20 Oktober.

Tertuduh memberitahu bahawa beliau menuju ke arah yang sama dan sanggup menumpangkan wanita berkenaan ke destinasinya dengan bayaran B$1. Tertuduh menyuruh mangsa duduk di hadapan kerana keadaan bersepah di tempat duduk belakang.

Tertuduh kemudian memandu ke simpang berhampiran, menahan mangsa sambil meminta wang daripadanya.

Apabila mangsa memberitahu mangsa tidak mempunyai duit, tertuduh lalu merampas seutas gelang emas dari lengan mangsa, mengambil telefon bimbit dan menghantarnya ke kedai serbaneka berhampiran.

Dalam siasatan berasingan juga mendapati tertuduh mencuri sebuah kereta dari sebuah rumah di Jalan Pasir Berakas pada November 2021.

Tertuduh melarikan kereta tersebut ke Seria, namun beliau mengalami masalah dengan kereta itu yang menyebabkannya meninggalkan kereta tersebut di Lumut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN