SEOUL: Korea Utara didakwa melancarkan peluru berpandu balistik ke dalam laut, hari ini.
Ia merupakan pelancaran kedua seumpamanya dalam tempoh kurang seminggu selepas Pyongyang melaporkan menguji peluru berpandu hipersonik.
Lapor BBC, menurut Korea Selatan, pihaknya mengesan pelancaran itu pada pukul 7.27 pagi (waktu tempatan).
Pengawal pantai Jepun juga melaporkan pelancaran itu dengan mendakwa Korea Utara melepaskan `objek menyerupai peluru berpandu balistik’.
Ia berlaku sejurus selepas enam negara mengeluarkan kenyataan mendesak Korea Utara untuk menghentikan tindakan yang `mengancam kestabilan’.
“Pasukan tentera kami mengesan peluru berpandu balistik yang disyaki dilancarkan oleh Korea Utara dari darat ke arah Laut Timur,” jelas Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan.
Tambahnya, agensi perisikan dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) dalam proses menjalankan analisis terperinci.
Pelancaran baharu itu menyokong ikrar dibuat pemimpin Kim Jong-un untuk memperkukuhkan pertahanan Korea Utara sebagai sebahagian keutamaan dasar negara itu bagi tahun ini. – AGENSI










