Kazakhstan bubar Kabinet, isytihar darurat - Utusan Malaysia

Kazakhstan bubar Kabinet, isytihar darurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALMATY: Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev membubarkan Kabinet berikutan konflik yang berlaku selepas ribuan rakyat mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah kenaikan harga bahan api.

Kassym-Jomart dilaporkan menerima peletakan jawatan semua menteri dalam Kabinet negara ini yang diterajui Perdana Menteri, Askar Mamin.

Susulan itu, timbalan perdana menteri, Alikhan Smailov akan mengambil alih tugas Askar sehingga barisan Kabinet baharu dibentuk.

Bercakap kepada pentadbiran sementara, Kassym-Jomart mengarahkan barisan kepemimpinan yang ada untuk melaksanakan kembali kawalan harga gas petroleum cecair (LPG) dan meluaskan mekanisme itu terhadap produk komoditi lain.

Beliau turut menggesa kerajaan untuk membangunkan sistem perundangan muflis peribadi, selain mewujudkan pendekatan untuk membekukan harga utiliti dan peruntukan subsidi bayaran sewa kepada keluarga miskin.

Dalam pada itu, perintah darurat di Almaty dan Mangystau bermula hari ini sehingga 19 Januari dan perintah berkurung bermula pukul 11 malam hingga 7 pagi sepanjang tempoh tersebut.

Terdahulu, pergolakan di Almaty dilaporkan semakin meruncing selepas polis melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan yang melakukan protes membantah kenaikan harga bahan api.

Tunjuk perasaan itu turut diadakan di beberapa bandar kecil di Kazakhstan.

Sementara itu, pihak berkuasa negara ini menahan lebih 200 penunjuk perasaan di seluruh Kazakhstan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN