JAKARTA: Kerajaan Indonesia menafikan laporan media Israel mengenai pegawai kesihatan dari dua negara berkenaan mengadakan pertemuan di Tel Aviv.
Lapor Arab News, Israel Army Radio Isnin lalu melaporkan delegasi pegawai kesihatan Indonesia melawat Tel Aviv bagi membincangkan strategi berkaitan pandemik Covid-19.
Namun, lokasi dan tarikh mesyuarat tersebut tidak dinyatakan secara spesifik.
Menerusi sidang akhbar secara maya, Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah menjelaskan tiada sebarang hubungan rasmi antara dua negara tersebut kerana Indonesia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik.
“Saya tekankan antara kerajaan tiada interaksi formal.
“Sila bezakan perkara yang bersifat rasmi, hubungan perniagaan atau rakyat dengan rakyat yang berada di luar bidang kuasa kerajaan,” jelasnya.
Menurut Teuku, pendirian Indonesia dalam isu Palestin kekal tidak berubah dan pihak kerajaan giat berusaha bagi memastikan ‘kemerdekaan Palestin mengikut kerangka penyelesaian dua negara’.
Tahun lalu, Duta Israel ke Singapura memaklumkan Tel Aviv akan bersedia mewujudkan hubungan dengan negara majoriti Islam di Asia Tenggara seperti Indonesia, Malaysia dan Brunei.
Langkah itu susulan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan, dan Maghribi bersetuju menormalisasikan hubungan dengan Israel di bawah Perjanjian Abraham yang diuruskan oleh AS.