WELLINGTON: Kira-kira 80,000 penduduk terjejas susulan letusan gunung berapi dasar laut di Tonga yang mencetuskan tsunami di beberapa negara Pasifik, Sabtu lalu.
Lapor BBC, Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) memaklumkan tsunami yang membadai pesisir pantai Pasifik dari Jepun ke Amerika Syarikat itu turut menyebabkan kerosakan besar seperti bekalan elektrik terputus.
Talian internet dan telefon turut terjejas sehingga menyebabkan 105,000 penduduk tidak dapat dihubungi sehingga kini
Wakil IFRC di Fiji, Katie Greenwood berkata, bantuan asas diperlukan segera bagi membantu mangsa yang terperangkap di sana.
“Kami jangka seramai 80,000 orang di seluruh Tonga terkesan sama ada disebabkan letusan gunung berapi, ombak tsunami atau banjir akibat gegaran itu.
“Bencana itu mengejutkan ramai orang dan kami bimbang terhadap penduduk yang berada di luar kawasan pulau,” katanya.
Sementara itu, Pasukan Pertahanan New Zealand menerusi Twitter memaklumkan akan menghantar bantuan kapal terbang bagi ‘membantu melakukan penilaian impak awal kawasan dan pulau-pulau di lokasi rendah’.
Pemangku Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Tonga, Peter Lund berkata, negara kepulauan itu kelihatan seperti ‘keadaan di bulan’ lapisan diselubungi debu panas gunung berapi.
Badan bantuan memberitahu debu tersebut menyebabkan pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai supaya minum air botol dan memakai pelitup muka untuk melindungi paru-paru mereka.
Agensi Meteorologi Tonga memberi amaran bau sulfur dan ammonia dilaporkan melanda di beberapa kawasan di negara itu.