SORONG: Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam satu pertempuran melibatkan dua kumpulan di sebuah kelab di pekan Sorong di wilayah Papua Barat, dengan kebanyakannya maut akibat terbakar.
Ketua Polis Sorong, Ary Nyoto Setiawan berkata, pertempuran itu berlaku pukul 11 malam waktu tempatan akibat salah faham antara dua kumpulan.
Katanya, seorang daripada mangsa maut ditikam dan 17 yang lain rentung dalam kebakaran yang berlaku di kelab malam tersebut.
“Kami menemukan 17 mayat di tingkat dua kelab tersebut dan kesemuanya sudah dibawa ke Hospital Selebe Solu untuk dibedah siasat.
“Kelab itu terbakar dari tingkat satu dan pasukan keselamatan cuba mengeluarkan semua pengunjung ketika kebakaran berlaku, namun selepas api reda, kami menemukan sejumlah mayat,” katanya.
Selain itu, polis cuba meleraikan ketegangan yang berlaku antara dua kumpulan itu sehingga pertempuran dan kebakaran berlaku.
Siaran televisyen menunjukkan bangunan kelab itu musnah dijilat api, selain beberapa kenderaan yang diletakkan berhampiran turut musnah. – AFP









