KABUL: Pemerintah Taliban akan melarang perkahwinan secara paksaan melibatkan golongan wanita di Afghanistan.
Langkah itu sekali gus memenuhi antara kriteria yang ditetapkan organisasi antarabangsa yang akan mempertimbangkan pengiktirafan kerajaan Taliban serta menyalurkan bantuan semula ke negara tersebut.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Taliban, Hibatullah Akhundzada susulan masalah kemiskinan yang membelenggu Afghanistan selepas pengambilalihan semula Taliban, Ogos lalu.
Sejak itu, negara luar mula menyekat bantuan yang menjadi tunjang utama ekonomi di negara miskin tersebut.
“Kedua-dua golongan iaitu wanita dan lelaki adalah sama. Tiada sesiapa boleh memaksa wanita berkahwin dengan paksaan atau tekanan,” kata pemimpin tersebut.
Bagaimanapun, Hibatullah tidak menetapkan umur minimum yang dibenarkan berkahwin kerana sebelum ini umur tersebut ditetapkan pada 16 tahun.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan golongan janda dibenarkan berkahwin semula selepas tempoh 17 minggu kematian suami dan memilih suami baharu dengan bebas.
Perkahwinan paksa menjadi satu kebiasaan di negara miskin dan negara konservatif kerana dianggap sebagai pertukaran bagi menyelesaikan hutang atau menampung keperluan makanan bagi sesebuah keluarga.-AGENSI