JAKARTA: Gunung Semeru sekali lagi meletus dengan menghamburkan debu panas dan lahar pada pagi semalam, menyebabkan penduduk setempat panik dan lari menyelamatkan diri.
Lapor CNN Indonesia, gunung berapi itu meletus kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan.
Menurut seorang penduduk di Sumberwuluh di Lumajang, Ahmad Samiludin berkata, penduduk bergegas melarikan diri sambil membawa barangan penting selepas Semeru meletus.
Berdasarkan laporan petugas yang berkawal di pos pemantauan, lahar yang dikeluarkan gunung berapi itu mengalir ke Dusun Curah Kobokan yang sebelum ini terjejas teruk akibat letusan terdahulu.
Selain itu, keadaan sekitar menjadi gelap gelita apabila debu panas melitupi ruang udara.
Letusan terbaharu itu menyebabkan operasi mencari serta menyelamat (SAR) yang dilakukan sebelum ini terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
Pasukan keselamatan juga diminta segera menyelamatkan diri susulan letusan yang berlaku.
Sehingga semalam, jumlah korban letusan Semeru sebelum ini meningkat kepada 56 orang dengan 36 lagi hilang.
Operasi SAR dilakukan di tiga kawasan utama iaitu Tambang Pasir, Kebon Deli dan Kajar Kuning.