LONDON: Satu kajian menunjukkan varian Omicron mampu menembusi sebahagian daripada perlindungan yang diberikan oleh vaksin Covid-19 keluaran Pfizer.
Bagaimanapun, pasukan penyelidik di Afrika Selatan memaklumkan, individu yang dijangkiti Covid-19 sebelum ini dan sudah divaksin berkemungkinan mendapat perlindungan yang lebih baik.
Lapor CNN, profesor di Institut Penyelidikan Kesihatan Afrika, Alex Signal berkata, dos penggalak juga berkemungkinan dapat menyediakan perlindungan yang lebih menyeluruh.
Ia merupakan ujian makmal pertama untuk mengkaji bagaimana varian Omicron bertindak dalam kalangan individu yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.
Kajian itu menggunakan sampel ujian darah 12 individu yang sudah lengkap menerima vaksin Pfizer.
Kajian tersebut menunjukkan Omicron boleh menembusi perlindungan imun yang dibina oleh vaksin namun tidak sepenuhnya.
“Terdapat penurunan yang agak besar dalam tahap antibodi peneutralan terhadap varian Omicron berbanding virus.
“Namun, vaksin masih boleh mengelakkan seseorang daripada komplikasi teruk akibat jangkitan Covid-19,” kata Signal.
Sementara itu, Signal memaklumkan, pernah dijangkiti Covid-19, mengambil vaksinasi lengkap dan dos penggalak boleh meningkatkan tahap peneutralan antibodi, sekali gus memberi perlindungan yang lebih tinggi.