JAKARTA: Penampilan terkini aktres terkenal Indonesia, Nia Ramadhani ketika menghadiri sesi perbicaraan berhubung kes dadah yang dihadapinya mencuri tumpuan banyak pihak.
Hal ini kerana, Nia tampil mengenakan pakaian jenama mewah dan kelihatan lebih ‘sihat serta ceria’ berbanding ketika mula-mula ditahan polis sebelum ini.
Lapor Tribunnews, isteri kepada Ardi Bakrie itu tetap memastikan dirinya kelihatan bergaya walaupun menghadiri perbicaraan.
Dalam sesi perbicaraan baru-baru ini, Nia mengenakan busana hitam sedondon dengan suaminya, selain rambutnya sudah dipotong pendek.
Aktres itu turut memakai seutas jam jenama mewah dan kasut tumit tinggi berwarna putih.
Penampilan aktres itu sentiasa menjadi sorotan pelbagai pihak, termasuk peminatnyang tidak putus memberi sokongan kepada Nia.
Ketika mula-mula dihadapkan ke mahkamah, penampilan Nia juga mendapat perhatian media apabila memakai topi jenama Dior yang berharga 14 juta rupiah (RM4,108).
Nia ketika ini berdepan perbicaraan berhubung kes penyalahgunaan dadah di Mahkamah Pengadilan Negeri, Jakarta Pusat.
Sebelum ini, ibu tiga anak itu ditangkap oleh polis bersama suaminya selepas menemukan sejumlah dadah jenis syabu seberat 0.78 gram di rumahnya, selain alat menghisap dadah tersebut.
Pasangan itu mengaku mengambil dadah sejak beberapa tempoh lalu.