Keberkesanan vaksin Covid-19 menurun ? - Utusan Malaysia

Keberkesanan vaksin Covid-19 menurun ?

PENDUDUK mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di sebuah pusat vaksinasi di San Sebastian. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan vaksin Covid-19 didapati menjadi kurang berkesan dalam mencegah jangkitan teruk dan kematian akibat virus itu.

Namun, agensi kesihatan antarabangsa itu menegaskan vaksin tersebut masih mampu memberikan `perlindungan ketara’ terhadap kemasukan ke hospital dan kematian.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, varian Omicron yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan Hong Kong bulan lalu kini dilaporkan di 77 buah negara.

Malah, kata beliau, varian baharu Covid-19 itu kemungkinan besar sudah merebak di kebanyakan negara tanpa dikesan, justeru ia tidak seharusnya dipandang sebagai `ringan’. 

“Varian Omicron merebak pada kadar yang tidak pernah kita lihat dengan mana-mana varian sebelum ini.

“Walaupun jika varian Omicron tidak menyebabkan jangkitan teruk, jumlah kes yang tinggi masih boleh melumpuhkan sistem kesihatan sekali lagi.

“Beberapa bukti menunjukkan terdapat penurunan kecil dalam kadar keberkesanan vaksin terhadap jangkitan teruk dan kematian selain penurunan dalam mencegah jangkitan ringan,” katanya dalam satu taklimat dalam talian.

Satu kajian menunjukkan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech didapati kurang berkesan di Afrika Selatan dalam mengelakkan pesakit dijangkiti virus ke hospital sejak varian Omicron dikesan di negara itu bulan lalu.

Pengarah Kecemasan WHO, Mike Ryan pula menyifatkan vaksin Covid-19 dihasilkan itu tidak gagal, sebaliknya memberikan perlindungan yang ketara terhadap jangkitan teruk dan kematian akibat virus tersebut.

“Apa yang perlu dilihat adalah sejauh mana perlindungan  vaksin semasa yang sedang diguna pakai, jenis vaksin yang bertindak terhadap semua varian dan apakah perlindungan akan hilang ke atas jangkitan teruk dan kematian akibat Omicron,” katanya.

Menurut Ryan, kemuncak gelombang jangkitan itu masih akan berkekalan selama `beberapa minggu lagi’, dengan mengambil kira penularan Omicron yang amat pantas yang sudah melangkaui varian Delta.

Dalam pada itu, Tedros berkata, dos penggalak boleh memainkan peranan penting dalam mengekang penyebaran Covid-19, selagi golongan yang memerlukan perlindungan juga mendapat akses kepada suntikan tersebut.

“Ia mengenai soal keutamaan, perintah itu amat penting, tindakan memberi dos penggalak kepada kumpulan berisiko rendah kepada jangkitan teruk atau kematian hanya membahayakan nyawa individu berisiko tinggi yang masih menunggu suntikan vaksin utama kerana kekangan bekalan.

“Sebaliknya, pemberian dos tambahan kepada golongan berisiko tinggi boleh menyelamatkan lebih banyak nyawa berbanding pengagihan dos primer kepada mereka yang berisiko rendah,” katanya.

Selain itu, Tedros memberitahu kemunculan Omicron turut mendorong beberapa negara melancarkan kempen dos penggalak Covid-19 bagi populasi dewasa meskipun penyelidik tidak mempunyai bukti mencukupi mengenai tahap keberkesanan dos penggalak terhadap varian tersebut.

“WHO amat bimbang kempen begini akan mengulangi perbuatan bolot bekalan vaksin sepertimana disaksikan sebelum ini.

“Situasi itu hanya memburukkan lagi ketidaksaksamaan,” katanya.        

* PIL ANTIVIRAL 90 PERATUS BERKESAN

Sementara itu, Pfizer mendakwa pil antiviral Covid-19 yang dibangunkan syarikat itu menunjukkan hampir 90 peratus keberkesanan dalam mencegah kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan pesakit berisiko tinggi.

Jelas syarikat farmaseutikal itu, data ujian makmal  terkini turut menunjukkan pil berkenaan mampu membendung varian Omicron yang merebak lebih pantas.

Bulan lalu, pengeluar vaksin itu menyatakan ubat oral berkenaan menunjukkan kira-kira 89 peratus berkesan dalam mencegah kemasukan ke hospital atau kematian berbanding plasebo.

Ia berdasarkan kajian dilakukan terhadap 1,200 orang pesakit Covid-19 pada November lalu. 

Tiada kematian dilaporkan setelah pengambilan ubat oral itu.

Pil oral Pfizer diambil bersama antiviral ritonavir dua kali setiap hari, untuk lima hari bermula sejurus timbulnya gejala.

Sekiranya ubat itu mendapat kelulusan, maka ia akan dijual dan dikenali sebagai Paxlovid.

“Hasil keputusan itu amat menakjubkan,” kata ketua pegawai saintifik Pfizer, Mikael Dolsten dalam satu temubual. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya