YANGON: Keputusan mahkamah yang menyaksikan bekas pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi dipenjara empat tahun kerana menghasut perbezaan pendapat terhadap tentera dan melanggar peraturan Covid-19 di sifatkan sebagai ‘tiada sesiapa mampu melawan undang-undang’.
Menteri maklumat kerajaan junta, Maung Maung Ohn berkata, hukuman yang dikenakan terhadap Suu Kyi mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan, selain ‘berperikemanusiaan’.
“Tiada sesiapa boleh ‘berada di atas undang-undang’ dan sistem perundangan Myanmar tidak pilih kasih,” katanya.
Selain itu, Maung Ohn juga menyatakan keadaan semasa di Myanmar ketika ini semakin stabil sejak kerajaan junta mengambil alih tampuk kerajaan pada 1 Februari lalu.
Rampasan kuasa yang berlaku menyaksikan rakyat bangkit menentang kerajaan junta menerusi siri protes berdarah, menyebabkan lebih 1,200 penduduk terbunuh dan kebangkitan kumpulan pemberontak di seluruh negara.
Kelmarin, sebuah trak tentera merempuh kumpulan penunjuk perasaan di Yangon, menyebabkan sekurang-kurangnya lima mati.
Dalam pada itu, Maung Ohn tidak menyalahkan tentera atas insiden yang berlaku, sebaliknya menyatakan kejadian tersebut terjadi kerana ‘sikap terburu-buru golongan muda tanpa memikirkan akibatnya’.
Beliau juga menegaskan, tindakan tentera merempuh penunjuk perasaan itu dilakukan kerana keadaan terdesak dan membahaykan. – REUTERS