SINGAPURA: Sebuah syarikat yang mengimport dan mengedar makanan Korea didenda S$3,000 kerana mengendalikan bilik penyimpanan sejuk tanpa lesen.
Berita Mediacorp melaporkan, Pengarah Jin Global (Jin), Song Sung Hyuk juga didenda S$3,000 kerana ‘gagal melaksanakan penilaian wajar untuk mengelakkan kesalahan daripada berlaku’, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam satu kenyataan.
Jin Global menggambarkan syarikat tersebut di laman web sebagai pengimport/pengedar makanan Korea terkemuka yang menyediakan khidmat kepada restoran Korea serta tempatan.
SFA menyatakan, pada Disember tahun lalu, pegawainya mendapati syarikat itu menyimpan sekitar 5,490 kilogram (kg) daging beku, produk makanan laut dan makanan diproses di sebuah bilik penyimpanan sejuk yang tidak berlesen.
Produk-produk itu, termasuk sotong beku dan ikan diproses, dirampas oleh pihak berkuasa.
“Penyimpanan daging dan makanan laut secara haram di kemudahan tidak berlesen menimbulkan risiko keselamatan makanan,” menurut SFA.
Mereka yang menyimpan daging atau makanan laut di bilik sejuk tidak berlesan bagi tujuan menjual atau membekalkan produk tersebut boleh didenda sehingga S$5,000, dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebuah lagi syarikat pengimport, Fresh Choice Avenue, didenda S$10,000 kerana membawa masuk secara haram buah-buahan dan sayur-sayuran serta makanan diproses untuk jualan.
SFA menyatakan pada 2 September 2020, pihak berkuasa mengesan sekitar 349kg buah-buahan dan sayur-sayuran segar yang tidak diisytiharkan atau diisytiharkan kurang daripada jumlah sebenar. Sebanyak 304kg sayur-sayuran diproses yang tidak diisytiharkan turut dikesan.
Kesemua produk itu diimport dari Malaysia.