BEIJING: Taikun media Hong Kong, Jimmy Lai dijatuhi hukuman penjara selama 13 bulan kerana mengambil bahagian dalam majlis memperingati mangsa pembunuhan beramai-ramai Tianmen.
Lapor BBC, lelaki berusia 74 tahun itu didapati bersalah kerana menghasut dan mengambil bahagian dalam perhimpunan haram.
Jimmy merupakan antara ribuan orang yang melanggar larangan dan menyertai majlis memperingati penunjuk perasaan prodemokrasi yang dibunuh askar China pada 1989.
Dilaporkan, puluhan ahli politik dan aktivis didakwa atas kesalahan itu.
Jimmy merupakan antara lapan aktivis yang dijatuhkan hukuman hari ini.
Hukuman dikenakan terhadap lapan individu itu dari empat setengah bulan hingga 14 bulan.
Hakim Amanda Woodcock menjatuhkan hukuman itu selepas sesi pendengaran mitigasi yang mana peguam Jimmy membacakan sepucuk surat ditulis oleh anak guamnya dari penjara.
Dalam surat tersebut, Jimmy berkata, beliau sanggup menanggung hukuman atas keputusannya. – AGENSI










