LAHORE: Sekumpulan perusuh menyerang sebuah kilang peralatan sukan di wilayah Punjab, timur Pakistan, Jumaat lalu, sehingga menyebabkan seorang pengurus kilang itu terbunuh.
Mayat mangsa kemudian dibakar secara terbuka kerana didakwa melakukan penghinaan terhadap agama.
Ketua Polis daerah Sialkot, Armagan Gondal berkata, pekerja kilang menuduh mangsa mencemarkan poster yang mengandungi nama Nabi Muhammad SAW.
Jelasnya, hasil maklumat awal menunjukkan Priyantha Kumara yang berasal dari Sri Lanka turut digantung di premis tersebut.
Beliau memaklumkan rakaman video yang tersebar dalam media sosial menunjukkan kumpulan perusuh mengheret badannya yang lebam teruk ke luar kilang dan membakarnya.
“Ketika mayat mangsa dibakar, ratusan orang bersorak dan menyokong tindakan penyerang.
“Kami masih mengenal pasti punca serangan tersebut dan mayat mangsa dihantar ke hospital bagi sesi bedah siasat,” katanya.
Di Colombo, jurucakap Kementerian Luar, Sugeeswara Gunaratne berkata, pihak kedutaan di Islamabad menjalankan siasatan secara terperinci mengenai insiden tersebut dengan pihak berkuasa Pakistan.
“Sri Lanka meletakkan harapan tinggi terhadap pihak berkuasa Pakistan supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi menyiasat dan memastikan keadilan kes jenayah tersebut,” ulasnya.
Beberapa jam selepas serangan itu, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menegaskan dalam Twitter, serangan tragis di kilang dan pengurus kilang yang dibakar hidup-hidup adalah hari yang memalukan bagi Pakistan.
Imran berjanji siasatan menyeluruh akan dijalankan dan membawa individu bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Menurut pihak polis, lebih 100 suspek ditahan kerana disyaki terlibat dengan serangan tersebut.-AP