MANILA: Pihak berkuasa Filipina menafikan laporan media antarabangsa yang mendakwa ratusan Tentera Diraja Sulu (RSA) merancang untuk menyerang Sabah, Februari tahun depan.
Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana menegaskan laporan mengenai pencerobohan tersebut adalah ‘berita palsu’.
Jurucakap Tentera Sulu di Filipina, Leftenan Jerrica Angela Manongdo pula berkata, laporan media tersebut langsung ‘tidak mempunyai asas’ yang kukuh.
“Kami meneliti laporan itu segera apabila mengetahui berita tersebut. Berdasarkan maklumat yang kami kumpul, tiada rancangan seperti yang dimaksudkan.
“Kami tidak tahu apakah motif di sebalik laporan tersebut,” katanya kepada Arab News.
Dalam perkembangan sama, Manongdo mengesahkan Datuk Bandar Filipina mengadakan mesyuarat awal bulan lalu, tetapi hanya bertujuan membincangkan cara memperkukuhkan sempadan maritim di kepulauan itu dan persediaan menghadapi bencana.
“Ketua eksekutif tempatan bertanggungjawab dalam pengambilan nelayan atau sukarelawan pelaut untuk menjalankan rondaan maritim dengan kerjasama tentera Sulu bagi meningkatkan kawalan sempadan daripada ancaman pengganas,” jelasnya.
Khamis lalu, South China Morning Post melaporkan berita yang memetik sumber kononnya seramai 600 anggota puak pemisah dari selatan Filipna akan menyerang Sabah.
Operasi khas itu didakwa dirancang selepas beberapa siri pertemuan rahsia melibatkan 19 datuk bandar di Filipina.
Insiden di Sabah kira-kira lapan tahun lalu mengakibatkan 12 perwira negara terbunuh dan menyebabkan kematian 56 pengganas dan enam orang awam.
Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.
Ekoran peristiwa berdarah itu, seramai 416 individu ditahan termasuk 110 orang disiasat di bawah Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.
Pada 8 Jun 2018, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas sembilan warga Filipina yang terlibat dengan pencerobohan bersenjata Lahad Datu berkenaan.










