BEIJING: Satu laporan baharu dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF) mendedahkan China merupakan negara paling banyak menahan wartawan di dunia.
Menurut laporan, ketika ini, sekurang-kurangnya 127 wartawan ditahan di negara itu.
Laporan itu mendakwa China giat menjalankan `kempen penindasan yang tidak pernah berlaku sebelum ini’ di seluruh dunia terhadap kewartawanan.
RSF juga menyatakan sekatan terhadap kebebasan media juga bertambah buruk ketika pandemik Covid-19.
“Sekurang-kurangnya 10 wartawan dan pengulas dalam talian ditahan kerana membuat liputan berita mengenai krisis Covid-19 di Wuhan.
“Salah seorang daripada mereka adalah bekas peguam, Zhang Zhan.
“Zhan dilaporkan pergi ke Wuhan pada Februari tahun lalu selepas membaca komen dalam talian seorang penduduk mengenai kehidupan di bandar itu ketika pandemik Covid-19,” jelas RSF.
Sebelum ini, China pernah memberi penjelasan terhadap isu penahanan wartawan dengan mendakwa golongan itu mencetuskan masalah. – AGENSI