LONDON: Seorang wanita di Wales dilaporkan memiliki koleksi memorabilia Harry Potter yang paling besar di dunia.
Tracey Nicol-Lewis menerima pengiktirafan Rekod Dunia Guinness selepas didapati mempunyai sebanyak 5,284 pelbagai memorabilia Harry Potter.
Lapor portal UPI, Tracey dari Mid Glamorgan mula mengumpul barangan siri novel dan filem fantasi terkenal itu sejak tahun 2002.
Katanya, memorabilia yang dimiliki antara lain terdiri daripada buku edisi khas, mainan, rantai kunci, replika barangan dan set lego.
Menurut Tracey, kesemua memorabilia Harry Potter yang dikumpulkan itu, disimpan dalam tiga bilik khas di rumahnya.
Sebelum ini, rekod tersebut dipegang oleh seorang penduduk lain di Wales yang dikenali sebagai Victoria Maclean.
Dilaporkan, Maclean memiliki sebanyak 3,686 memorabilia Harry Potter. – AGENSI