JAWA TIMUR: Badan Meteorologi, Iklim dan Geofizik Indonesia (BMKG) meramalkan Lumajang yang sering ditimpa bencana bakal dilanda gempa bumi sekuat 8.7 skala Richter.
Lapor Tribunnews, gempa bumi itu juga dijangka menyebabkan tsunami dengan ombak setinggi 22 meter.
Pemerhati BMKG Pasuruan, Akhmad Fauzi berkata, antara faktor penyebab bencana alam itu adalah kerana Lumajang memiliki pantai yang cukup panjang iaitu 70 kilometer di pesisir pantai selatan.
Ketika ditemui di Pantai Watu Pecak, wakil BMKG sedang melakukan pemetaan senario terburuk ancaman gempa bumi mega di selatan Pulau Jawa, Lumajang.
Pemetaan dilakukan di sepanjang pesisir pantai selatan bermula dari Tempeh, Pasirian hingga Yosowilangun.
Usaha itu dilakukan bagi menentukan jalur evakuasi, titik berkumpul dan titik evakuasi sekiranya pantai-pantai di Lumajang dilanda ombak tsunami.
Orang ramai yang tinggal di kawasan pantai tersebut dinasihatkan supaya bertenang serta berwaspada dengan potensi gempa bumi dan tsunami mega.