fbpx

Teksi terbang EHang 216 lakukan ujian penerbangan di Bali

DENPASAR: Teksi terbang dari jenis kenderaan udara autonomi model EHang 261 dengan kapasiti dua orang penumpang secara rasmi melakukan ujian penerbangan di Klunkung, Bali semalam.

Presiden Prestige Image Motocars, Rudy Salim memaklumkan, teksi terbang itu diharap dapat menjadi pelopor kepada pelaksanaan bandar pintar digital di Bali.

Katanya, EHang 216 juga bakal menjadi medium penyelesaian pengangkutan, terutamanya di daerah terpencil.

“Teksi terbang ini juga mesra alam kerana penggunaannya tidak melepaskan gas karbon seperti kenderaan konvensional.

“EHang 216 berupaya menghantar penumpang ke destinasi yang ditujui dengan penggunaan internet dan dikendalikan jurukawal di darat,” katanya.

Dengan sekali caj, bateri teksi terbang itu mampu terbang sejauh 30 kilometer.

Teksi ‘masa depan’ itu juga mampu membawa bebanan seberat 220 kilogram dengan kelajuan 130 kilometer sejam.

EHang 216 kini masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa Indonesia untuk digunakan secara rasmi.

Teksi terbang itu setakat ini sudah menjalani ujian penerbangan di lebih 40 bandar di lapan negara.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!