SYDNEY: Bandar terbesar Australia, Sydney akan mengurangkan lebih banyak sekatan Covid-19 bermula esok, sebulan selepas perintah berkurung ditarik balik.
Keputusan itu dibuat selepas hampir 90 peratus penduduk di bandar raya ini sudah menerima vaksin Covid-19 yang lengkap.
Biarpun kelonggaran sekatan itu terhad kepada penduduk yang sudah menerima vaksinasi lengkap, perhimpunan luar dan peningkatan jumlah tetamu di rumah turut dibenarkan.
Ketua Menteri New South Wales, Dominic Perrottet berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk ‘membawa keluar negara ini daripada cengkaman Covid-19’.
Dalam pada itu, ratusan penduduk mengadakan protes anti vaksin di sini hari ini, namun itu tidak menggoyahkan kerajaan untuk terus menggalakkan rakyat Australia melengkapkan vaksinasi mereka.
Sementara itu, negeri Victoria merekodkan 1,417 kes jangkitan baharu dengan sekurang-kurangnya 10 kematian.
Di wilayah utara Australia, tiada kes jangkitan direkodkan apabila perintah berkurung sementara dilanjutkan sehingga 8 November ini. – REUTERS