Sesi persekolahan dibenarkan berperingkat di Filipina - Utusan Malaysia

Sesi persekolahan dibenarkan berperingkat di Filipina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOGO: Ribuan kanak-kanak di Filipina dibenarkan semula ke sekolah buat pertama kali hari ini sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini.

Filipina mula menutup semua sekolah sejak Mac 2020 ketika pandemik Covid-19 mula mengganas.

Pembukaan semula sesi persekolahan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan guru dan pelajar.

Seorang guru tadika, Zyrex Damayo berkata, dia berasa gementar ketika menyambut kedatangan pelajar di sekolah di sini.

“Saya jangka ada dalam kalangan mereka akan menangis, namun mereka sangat bagus dan bersedia untuk bersekolah semula,” katanya.

Sebanyak 100 daripada lebih 61,000 buah sekolah awam dipilih untuk dibuka semula sebagai percubaan selama dua bulan.

Kebanyakan sekolah tersebut terletak di kawasan pinggir bandar, pergunungan dan kepulauan yang dikategorikan rendah risiko jangkitan Covid-19.

Setiausaha Pendidikan Filipina, Leonor Briones berkata, pihaknya tidak boleh memberi jaminan pembukaan sekolah itu akan berjaya 100 peratus, namun berharap boleh menjadi permulaan kepada pembukaan sekolah di seluruh negara.

Sebagai mematuhi peraturan Covid-19, jumlah pelajar akan dikurangkan dalam setiap kelas dengan dipecahkan kepada beberapa kelas lain, selain masa pembelajaran juga disingkatkan.

Para pelajar juga dikehendaki memakai pelitup muka, mencuci tangan dan menjaga jarak sosial. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN