Selepas vaksin, era pil antiviral Covid-19 bakal bermula - Utusan Malaysia

Selepas vaksin, era pil antiviral Covid-19 bakal bermula

PIL antiviral Covid-19 bakal menjadi senjata baharu untuk menentang jangkitan koronavirus di seluruh dunia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Merck dan Pfizer sebelum ini mengumumkan keputusan positif dalam penghasilan ubat antiviral Covid-19 yang dilihat bakal menjadi babak baharu dalam usaha menentang virus maut tersebut.

Baru-baru ini, Britain menjadi negara pertama di dunia yang meluluskan penggunaan pil tersebut selepas kes jangkitan Covid-19 di negara itu terus meningkat.

 

BAGAIMANA RAWATANNYA?

Pil antiviral Covid-19 diambil secara oral sebaik sahaja gejala pertama jangkitan dikesan, bagi mengelakkan komplikasi serius, termasuk dimasukkan ke hospital.

Rawatan menggunakan pil ini sudah mula diteliti sejak dunia berdepan dengan pandemik Covid-19.

Selepas beberapa bulan menjalankan penyelidikan, Merck atau dikenali sebagai MSD di luar AS dan Kanada berserta Pfizer akhirnya sudah mencapai matlamat mereka.

Pada awal Oktober lalu, Merck memaklumkan pihaknya berusaha mendapatkan kelulusan penggunaan kecemasan pil molnupiravir di AS, manakala Pfizer pula menerusi pil paxlovid.

Kedua-dua pil antiviral Covid-19 itu bertindak dengan mengurangkan keupayaan sel virus berkembang, sekali gus memperlahankan kadar jangkitan.

Kedua-dua syarikat juga menyatakan ujian klinikal menunjukkan risiko dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 dapat dikurangkan.

Bagi mereka yang mengambil pil molnupiravir, risiko kemasukan hospital dapat dikurangkan sehingga 50 peratus, manakala hampir 90 peratus untuk golongan yang menggunakan paxlovid.

 

KENAPA IA PENTING?

Sekiranya keberkesanan pil tersebut disahkan, ia bakal menjadi langkah besar dalam usaha berterusan dunia untuk melawan Covid-19, berserta vaksin yang dihasilkan.

Pil antiviral ini juga lebih mudah untuk digunakan berbanding vaksin yang perlu disuntik oleh petugas perubatan bertauliah.

Menerusi kaedah rawatan yang dicadangkan oleh Merck dan Pfizer, kedua-dua pil antiviral itu akan diambil sebanyak 10 dos selama lima hari.

 

APAKAH KEKURANGANNYA?

Pakar penyakit berjangkit Perancis, Karine Lacombe berkata, pengumuman yang dibuat oleh Merck dan Pfizer perlu dinilai dengan ‘berhati-hati’ sehingga kajian menyeluruh diperoleh.

Namun, beberapa elemen menunjukkan Merck dan Pfizer tidak hanya ‘membuat janji kosong’.

Sebagai bukti, kedua-dua syarikat itu menghentikan ujian percubaan lebih awal daripada yang dijangka susulan pemerolehan keputusan yang kukuh.

Sejumlah penyelidik membuat aduan mengenai ujian klinikal yang dilakukan kerana disifatkan tidak menyeluruh.

Ujian tersebut hanya menilai kekerapan kemasukan ke hospital dan tiada elemen penting yang lain, sekali gus merumitkan tafsiran data.

 

BILA DAN BERAPA HARGA?

United Kingdom sudah pun meluluskan penggunaannya, manakala pihak berkuasa kesihatan AS dan Kesatuan Eropah (EU) giat melakukan penelitian terhadap pil tersebut.

AS sudah menempah kira-kira 1.7 juta molnupiravir yang dianggarkan bernilai AS$700 (RM2,912) bagi kegunaan lima hari.

Sementara itu, Pfizer pula memberi jaminan pil antiviral Covid-19 keluarannya akan dijual pada harga ‘berpatutan’. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya