SINGAPURA: Seramai 163 lelaki dan 73 wanita disiasat oleh pihak polis kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan menyebabkan mangsa kehilangan lebih 6.1 juta dolar Singapura (RM18.7 juta).
Lapor Channel News Asia, kesemua 236 suspek berusia antara 14 hingga 78 tahun dipercayai terlibat dalam 770 kes penipuan sebagai scammer atau keldai wang.
Sindiket itu merangkumi ‘love scam’,’scam e-dagang’, penipuan pelaburan, tawaran pekerjaan, perniagaan, emel dan pinjaman.
Suspek yang disiasat dikenal pasti sepanjang operasi dua minggu yang dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Komersial Polis Singapura antara 6 hingga 18 November.
“Suspek disiasat kerana didakwa melakukan kesalahan menipu, penggubahan wang haram atau memberikan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen,” kata polis.