Rakyat belum vaksin perlu sedar tanggungjawab - Utusan Malaysia

Rakyat belum vaksin perlu sedar tanggungjawab

ORANG ramai beratur di pusat vaksinasi di pusat beli belah di Ludwigsburg, selatan Jerman.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Canselor Jerman, Angela Merkel menegaskan rakyat yang belum divaksin semasa gelombang keempat pandemik melanda negara perlu memahami tanggungjawab mereka melindungi masyarakat lain.

Kata beliau, cabaran pandemik dan perubahan iklim adalah serupa kerana kedua-keduanya adalah proses yang meningkat dengan cepat dan tahap keseriusannya sukar dikenali semasa permulaan keluk pertumbuhan.

“Kita perlu menjelaskan bahawa hak mendapatkan vaksin itu adalah pencapaian besar dalam sains dan teknologi.

“Kita juga mempunyai kewajipan tertentu untuk memberikan perlindungan kepada masyarakat,” katanya semasa berucap dalam sidang kemuncak perniagaan di New Zealand.

Jumlah kes jangkitan Covid-19 semakin melonjak di Eropah sejak beberapa minggu lalu dan pakar melahirkan kebimbangan sistem kesihatan akan berisiko lumpuh disebabkan individu yang belum divaksin masih menyebarkan wabak kepada golongan lebih berusia dan terdedah dengan risiko jangkitan.

Walaupun kebanyakan individu yang belum divaksin merupakan kumpulan umur yang berkemungkinan mengalami kes Covid-19 yang kurang teruk, mereka masih berisiko menyebarkan virus itu kepada warga emas yang mempunyai sistem imun yang lebih lemah.

Eropah adalah benua pertama di dunia yang melaksanakan kempen vaksin Covid-19, namun beberapa negara mula menyaksikan lonjakan kes jangkitan dan kadar jangkitan yang tinggi.

Sebagai contoh, kes harian baharu meningkat melebihi 33 peratus minggu lalu di Republik Czech, manakala, kes jangkitan melonjak 52 peratus di Croatia dan 49 peratus di Austria.

Khamis lalu, kadar kes mingguan di Jerman melonjak kepada 249 jangkitan bagi setiap 100,000 orang yang mengatasi paras tertinggi semasa musim sejuk lalu, iaitu kira-kira 197 kes.

Vaksin yang selamat dan berkesan sudah tersedia sejak berbulan-bulan, namun, kadar vaksinasi di kebanyakan negara masih jauh ketinggalan sejak musim sejuk menghampiri Eropah Tengah dan Timur.

Menurut Our World in Data, kira-kira 66 peratus rakyat Jerman sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya sekali gus meletakkan negara itu berada di belakang Britain dan Perancis.

Kadar vaksinasi keseluruhan di Kesatuan Eropah (EU) adalah kira-kira 65 peratus dengan Portugal paling tinggi merekodkan kadar vaksinasi.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya