MANADO: Isu pemilikan dan pelepasan tanah dalam projek Empangan Lolak di Bolaang Mongondow, Sulawesi Utara masih belum selesai sedangkan pembangunan itu dijangka siap pada hujung tahun ini.
Hal ini kerana, puluhan penduduk kampung tidak berpuas hati dengan bayaran pampasan yang ditawarkan kerajaan untuk mengambil tanah mereka bagi menyiapkan projek tersebut.
Seorang penduduk di Desa Pindol, Ajis Paputungan berkata, kerajaan hanya mahu membayar 3,500 rupiah (RM1) bagi setiap satu meter persegi tanahnya.
“Harga ini sama seperti sebungkus mi segera. Sebelum ini, saya minta kerajaan membayar 100,000 rupiah (RM30) untuk setiap meter persegi, namun mereka menolak harga itu.
“Saya bukan tidak menyokong projek tersebut, namun kerajaan perlu peduli tentang nasib kami,” katanya.
Jelas Ajis, jika dia tidak mahu menerima harga yang ditetapkan oleh kerajaan, maka wang ganti rugi itu akan dikembalikan kepada pentadbiran.
“Disebabkan saya bodoh dan takut, saya terpaksa juga terima harga semurah itu demi pembangunan negara,” ujarnya.
Hal serupa dilontarkan oleh seorang lagi penduduk, Deysi Makalala yang memaklumkan tanah tanaman nanas miliknya diambil untuk projek berkenaan.
Sepatutnya, wanita itu menerima bayaran ganti rugi sebanyak 463 juta rupiah (RM135,620) bagi jumlah nanas yang diusahakannya, namun kerajaan hanya membayar 106 juta rupiah (RM31,049).
Sementara itu, Ketua Balai Wilayah Sungai Sulawesi I, Komang Sudana menyatakan semua persetujuan dibuat berdasarkan data dan penilaian semasa.
Selain itu, beliau juga menjelaskan, proses bayaran ganti rugi dibuat secara berperingkat dan masih ada yang belum diselesaikan.