fbpx

Padah cinta scam, pemain bola tampar rugi RM2.96 juta

ROBERTO Cazzaniga menjadi mangsa penipuan selepas menyangka sedang berpacaran dengan model Alessandra Ambrosio. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang pemain bola tampar profesional dari Itali kerugian kira-kira AS$700,000 (RM2.96 juta) selepas diperdaya seorang wanita yang menyamar sebagai model terkenal Brazil yang dikenalinya melalui telefon.

Lapor Daily Star, Roberto Cazzaniga, 42, yang bermain bola tampar bahagian kedua Itali, menyangka dia sedang berpacaran dengan model Alessandra Ambrosio.

Menurut Cazzaniga, pada tahun 2008, seorang rakannya memberi nombor telefon wanita dikenali sebagai Maya yang mahu bertemu dengannya.

Katanya, selepas beberapa perbualan telefon dengan wanita tersebut, individu itu mendakwa merupakan Alessandra dan nama Maya adalah nama samarannya.

Cazzaniga juga mendedahkan bagaimana beliau memindahkan jumlah wang terbabit kepada wanita tersebut selama beberapa tahun.

Jelasnya, beliau turut mendapatkan bantuan pinjaman daripada rakan dan saudara maranya untuk memberi wang yang diperlukan wanita tersebut.

Berdasarkan laporan media tempatan, wanita itu mula meminta wang daripada Cazzaniga selepas mendakwa mempunyai masalah dengan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan bayaran berkaitan warisan.

Menurut laporan, wanita itu kerap mendakwa kononnya dia terlalu sibuk dengan kerjanya dan memberi alasan penyakit jantung dihidapnya sehingga menyukarkannya untuk bertemu dengan Cazzaniga.

“Kami tidak pernah bertemu. Dia memberi banyak alasan seperti sakit dan sibuk bekerja.

“Namun, saya jatuh cinta dengan suara itu, kami hanya bercakap melalui telefon bimbit hampir setiap hari,” katanya.       

Tambah laporan itu, tiga individu dipercayai terlibat dalam rancangan penipuan terhadap atlet tersebut. – AGENSI

POPULAR

KOSMO! TERKINI