BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand memutuskan Seksyen 1448 Kod Sivil dan Komersial yang hanya membenarkan pasangan lelaki dan wanita untuk mendaftarkan perkahwinan mereka tidak bertentangan dengan hak perlembagaan rakyat.
Lapor Bangkok Post, keputusan itu sekali gus menetapkan perkahwinan sesama jenis di negara ini tidak dibenarkan dan menyalahi undang-undang.
Keputusan tersebut yang disiarkan dalam kenyataan akhbar oleh mahkamah kelmarin, diputuskan sebagai reaksi kepada permohonan Mahkamah Pusat Juvana dan Keluarga.
Terdahulu, mahkamah itu ingin mendapatkan penjelasan sama ada Seksyen 1448 bertentangan dengan Seksyen 25,26 dan 27 dalam piagam itu yang menjamin hak sivil sama untuk semua rakyat negara ini.
Pasangan golongan lesbian, gay, biseksual, trangander (LGBT), Pheomsap Sae-ung dan Phuangphet Hemkham cuba mendaftarkan perkahwinan mereka secara sah pada 14 Februari tahun lalu.
Namun, hasrat mereka tidak kesampaian apabila ditolak oleh jabatan pendaftaran yang merujuk Seksyen 1448.
Kemudian, pasangan kekasih itu mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Pusat Juvana dan Keluarga untuk membantah penolakan jabatan pendaftaran perkahwinan.