BEIJING: Seorang lelaki di China mengaku disenarai hitam oleh salah sebuah restoran all you can eat kerana makan terlalu banyak.
Lelaki bernama Kang berkata kepada Hunan TV, dia disenarai hitam oleh Handadi Seafood BBQ Buffet di Kota Changsha selepas acara pesta makan diadakan.
Lelaki yang sering membuat siaran secara langsung mengenai makanan, mengambil 1.5 kilogram kaki babi dalam kunjungan pertamanya.
Semasa kunjungan kedua, dia mengambil 3.5 hingga 4 kilogram udang.
“Saya mampu makan banyak. Apakah ia satu kesalahan?” soalnya.
Kang berkata, dia sememangnya tidak suka membazirkan makanan dan akan memastikan makanan yang diambil dihabiskan.
Namun, pemilik restoran berkata, Kang telah menyebabkan restorannya mengalami kerugian.
“Setiap kali dia datang ke sini, saya kehilangan beberapa ratus yuan.
“Bahkan semasa dia minum susu kacang soya, dia boleh minum 20 hingga 30 botol.
“Ketika dia makan babi, dia menghabiskan seluruh hidangan di atas dulang.
“Bagi hidangan udang, kebiasaannya pelanggan akan menggunakan penyepit untuk mengambilnya, tetapi dia gunakan dulang,” luah pemilik restoran.