LONDON: Beberapa ahli teori konspirasi mendakwa sebuah objek tidak dikenal pasti (UFO) dikesan mengejar Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Lapor Daily Star, objek itu pada mulanya dikesan oleh seorang individu dikenali sebagai Mary Hall sebelum video mengenainya dikongsi di akaun YouTube, MrMBB333.
Video yang dimuat naik itu bertajuk Unknown high speed craft caught chasing the ISS.
Rakaman video itu menunjukkan sebuah objek putih terumbang ambing di ruang angkasa lepas yang kelihatan seperti menghampiri ISS.
“Objek itu sedang bergerak ke belakang dan anda boleh melihat ia terumbang ambing.
“Ia kemudian menjadi perlahan dan bergerak ke arah kiri.
“Anda juga boleh melihat objek ini terumbang ambing di langit dan menuju ke arah ISS,” kata pengguna media sosial yang memuat naik video tersebut.
Video tersebut ditonton lebih 47,000 kali sejak dimuat naik pada 14 November lalu.
Rata-rata warganet mempercayai teori konspirasi itu manakala yang lain pula mencadangkan penjelasan yang lebih munasabah. – AGENSI