Disangka dapat durian runtuh RM614,620, rupanya duit orang lain - Utusan Malaysia

Disangka dapat durian runtuh RM614,620, rupanya duit orang lain

RUSSELL Alexander melakukan ubah suai di kediaman baharunya sebelum kesemua duitnya ditarik balik oleh bank. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang lelaki buntu selepas bank mengarahkan supaya dia menyerahkan semula sejumlah duit yang dimasukkan secara tidak sengaja ke dalam akaunnya.

Russell Alexander, 54, dari Norfolk berkata, dia terkejut apabila 110,000 pound (RM614,620) dimasukkan ke dalam akaunnya secara berperingkat.

Lelaki itu kemudiannya menghubungi Bank Barclays untuk bertanyakan hal tersebut, namun tiada jawapan sebelum dimaklumkan dia boleh menyimpan duit berkenaan.

Selepas itu, Alexander membelanjakan sebahagian daripada duit itu untuk membeli sebuah rumah baharu bernilai 237,500 pound (RM1.3 juta).

Namun, sembilan bulan kemudian, Barclays menyedari kesilapan yang berlaku dan menarik balik baki duit yang ada di dalam akaun Alexander.

Barclays mendakwa duit itu dipindahkan oleh pihak lain secara salah ke akaun Alexander, selain mengakui kesilapan pihaknya yang menyuruh lelaki tersebut menyimpan serta boleh menggunakan wang berkenaan.

Sebagai permohonan maaf, Barclays menawarkan duit pampasan sebanyak 500 pound (RM2,793).

“Saya merupakan pelanggan tetap bank tersebut selama 40 tahun dan dua kali Barclays maklumkan yang saya boleh simpan atau belanjakan duit itu.

“Saya pasti tidak akan beli rumah itu jika saya tahu perkara ini akan berlaku,” katanya.

Alexander memaklumkan, kali pertama dia menyedari ada duit dimasukkan ke dalam akaunnya adalah pada 29 Disember 2020.

Lelaki itu pada mulanya menerima sebanyak 30,000 pound (RM167,623), kemudian, jumlah yang sama sekali pada 15 Januari 2021, diikuti 777 pound (RM4,341) dan akhir sekali, 50,000 pound (RM279,373) pada Ogos lalu.

Keliru dengan apa yang berlaku, Alexander menghubungi bank dan agensi kewangan itu memaklumkan dia boleh menggunakan kesemua wang tersebut.

Namun, pada September lalu, seorang bekas pelanggan Alexander menghubunginya dan memaklumkan dia merupakan individu yang ‘tersalah memasukkan duit ke dalam akaunnya’.

Terkejut dengan makluman itu, Alexander sekali lagi menghubungi Barclays dan bank berkenaan mengesahkan perkara tersebut dan kesemua duit di dalam akaunnya ditarik balik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya