MANILA: Seorang wanita yang didakwa sebagai individu paling tua dia dunia meninggal dunia pada usia 124 tahun.
Lapor The Sun, Lola Francisca Susano yang mesra disapa Lola Iska, meninggal dunia di rumahnya di bandar Kabankalan.
Pihak berkuasa Kabankalan mengesahkan berita kematian Lola dan memaklumkan wanita itu meninggal dunia pada Isnin lalu.
“Dukacitanya dimaklumkan, Lola Francisca Susano meninggal dunia pada Isnin lalu pada usia 124 tahun.
“Lola merupakan individu paling tua di Filipina dan berkemungkinan juga tertua di dunia. Pengesahan akan dibuat oleh Rekod Dunia Guinness dalam masa terdekat,” menurut hantaran yang dibuat pihak berkuasa Kabankalan dalam Facebook.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, wanita itu merupakan individu terakhir yang lahir pada abad ke-19.
Wanita itu didakwa dilahirkan pada 11 September 1897.
Sementara itu, punca kematian Lola masih belum dikenal pasti dan ujian Covid-19 akan dilakukan terhadap mayatnya.