SINGAPURA: Grab menyatakan sesetengah khidmatnya tidak boleh diakses pada pagi ini dengan sebilangan pengguna di Singapura, Indonesia, Filipina dan Thailand mengadu aplikasi itu tidak berfungi.
“Beberapa khidmat kami tidak boleh diakses buat masa ini. Kami sedang menelitinya dan akan memberi perkembangannya apabila aplikasi sudah berfungsi semula,” menurut syarikat yang berpangkalan di Singapura itu dalam satu catatan Facebook.
Berita Mediacorp melaporkan, kenyataan itu juga dimuat naik ke laman rasmi Facebook GrabFood.
Pengguna yang terjejas menulis komen di laman Facebook Grab dari sekitar 8 pagi. Mereka berkata tidak boleh mencari lokasi dan membuat tempahan menerusi aplikasi itu.
Sesetengah pengguna juga berkata aplikasi itu bukan sahaja tidak boleh diakses penumpang tetapi juga pemandu yang tidak menerima tempahan.
Grab menyatakan ia sedang mengalami ‘sedikit masalah teknikal berhubung aplikasi kami’ dalam menjawab rungutan pengguna tersebut.
Platform itu beroperasi di lapan negara Asia Tenggara termasuk Kemboja, Malaysia, Myanmar dan Vietnam.