SINGAPURA: Mulai 2023, gaji asas pengawal keselamatan di Singapura akan dinaikkan secara progresif sepanjang enam tahun, setelah saranan oleh Perikatan Tiga Pihak Kelompok Keselamatan (STC) diterima yang diterima kerajaan hari ini.
Sambil menarik perhatian kenaikan tiga peratus ke atas gaji asas yang diumumkan sebelum ini tetap akan berkuat kuasa pada tahun depan, STC menyatakan ia menyarankan ‘kenaikan ketara’ bagi gaji bulanan pengawal keselamatan pada 2023 serta kenaikan tahunan kuantum dolar secara tetap dari 2024 hingga 2028.
Berita Mediacorp melaporkan, ini bermakna gaji bersih bulanan pengawal keselamatan yang memegang pangkat paling rendah akan meningkat lebih 50 peratus dari 2022 hingga 2028, menurut STC dalam satu kenyataan hari ini.
Gaji bersih bulanan pada 2022 dianggarkan berdasarkan gaji asas dan waktu bekerja lebih masa selama 72 jam.
Gaji asas bagi pengawal keselamatan akan meningkat lebih dua kali ganda dari S$1,650 pada 2023 kepada $3,530 menjelang 2028.
Sementara itu, penyelia kanan keselamatan yang merupakan pangkat tertinggi, akan menyaksikan gaji asas bulanan mereka meningkat dari S$2,240 kepada S$4,430 bagi tempoh sama.
“Secara keseluruhan, gaji bersih bulanan bagi semua peringkat pekerjaan akan naik mengikut purata Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun sebanyak 6.6 peratus dari 2022 hingga 2028 – iaitu lebih dua kali ganda kenaikan minimum tahunan sebanyak tiga peratus, yang diumumkan pada November 2017,” menurut STC.