Elon Musk tawar jual saham Tesla jika PBB boleh selesaikan krisis kebuluran dunia - Utusan Malaysia

Elon Musk tawar jual saham Tesla jika PBB boleh selesaikan krisis kebuluran dunia

ELON MUSK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk menawarkan untuk menjual sebahagian saham syarikatnya pada kadar ‘serta-merta’ sekiranya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh membuktikan bantuan dana berjumlah AS$6 bilion (RM24.9 bilion) dapat menyelesaikan krisis kebuluran dunia.

Musk membuat kenyataan itu selepas Pengarah Program Makanan Sedunia PBB (WFP), David Beasley mencabar golongan ‘ultra kaya’, terutamanya Jeff Bezos dan Musk untuk tampil membantu menyelesaikan krisis tersebut.

DAVID BEASLEY

“AS$6 bilion boleh membantu 42 juta orang di seluruh dunia yang ketika ini hampir mati akibat kebuluran.

“Bukan susah sangat untuk hulurkan bantuan. Jumlah dana itu bersamaan kira-kira dua peratus daripada nilai kekayaan Musk,” kata Beasley dalam wawancara bersama CNN pada minggu lalu.

Sebagai reaksi balas, Musk menerusi Twitter menyatakan, jika WFP boleh menjelaskan dengan lengkap bagaimana AS$6 bilion itu boleh menyelesaikan masalah paling kritikal di dunia, beliau akan menjual saham Tesla.

“Saya akan jual sebahagian saham Tesla serta-merta jika WFP mampu yakinkan saya bagaimana dana itu boleh bantu penduduk yang kebuluran.

“Tetapi, kaedah perbelanjaan untuk bantu golongan tersebut perlu dilakukan secara terbuka, jadi orang ramai boleh melihat bagaimana dana itu digunakan,” ujar Musk.

Beasley kemudiannya membalas ciapan Musk dengan menulis, beliau boleh memberi jaminan bahawa WFP mempunyai sistem yang telus dan perakaunan terbuka.

“Pasukan anda boleh menilai usaha kami dan kami berani memberi jaminan tersebut.

“AS$6 bilion mungkin tidak dapat selesaikan kebuluran global, tapi ia mampu mencegah ketidakstabilan geopolitik, perpindahan besar-besaran dan menyelamatkan 42 juta orang daripada mati,” kata Beasley.

Sehingga kelmarin, nilai kekayaan Musk dianggarkan berjumlah AS$311 bilion (RM1.3 trilion) berdasarkan Indeks Bilionair Bloomberg, sekali gus menjadikan beliau sebagai individu terkaya dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.