JAKARTA: Badan Pengawal Ubatan dan Makanan (BPOM) masih menunggu data lebih lengkap bagi penggunaan vaksin Sinovac kepada kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas.
Lapor CNN Indonesia, Ketua BPOM, Penny K.Lukito berkata, golongan tersebut juga berisiko terdedah dengan jangkitan atau menyebarkan penularan wabak Covid-19.
Dalam masa sama, pihaknya turut memproses kebenaran penggunaan kecemasan (EUA) bagi vaksin Sinopharm dan Pfizer sebelum suntikan diberikan kepada kanak-kanak lima hingga 11 tahun.
Katanya, golongan umur tersebut sudah menerima suntikan vaksin berkenaan di Amerika Syarikat.
“Sekiranya kita sudah menerima data tersebut, kita juga perlu mendapatkan pengesahan EUA untuk digunakan kepada kanak-kanak lima tahun dan ke atas,” katanya.
Menurut Penny, antara fokus kerajaan dan BPOM pada 2022 adalah program vaksinasi kepada kanak-kanak disebabkan proses pembelajaran secara bersemuka sudah bermula di sekolah.
“Harapnya ini akan menjadi keutamaan pada masa depan kerana kanak-kanak juga berisiko menyebarkan jangkitan kepada golongan dewasa,” jelasnya.










