MUMBAI: Sekurang-kurangnya empat bayi baru lahir dilaporkan maut dalam kebakaran di sebuah hospital kerajaan di utara India.
Ia merupakan insiden terbaharu dalam siri kes kebakaran membabitkan hospital di negara itu yang mengorbankan puluhan orang.
Empat bayi yang maut merupakan antara 40 bayi baru lahir yang ditempatkan di unit penjagaan khas di Hospital Kamla Nehru, Bhopal di Madhya Pradesh.
Menteri Pendidikan Perubatan Madhya Pradesh, Vishwas Kailash Sarang berkata, bayi yang terselamat telah dipindahkan ke wad yang lain.
Katanya, kebanyakan bayi yang menerima rawatan di unit penjagaan khas itu dilahirkan dalam keadaan pramatang dengan berat badan berkurangan.
“Ketika ini, bayi yang lain sedang dirawat,” kata Vishwas kepada pemberita selepas kebakaran itu berjaya dikawal.
Tambah beliau, satu siasatan dilancarkan untuk mengenal pasti punca kebakaran tersebut.
Dilaporkan, sekurang-kurangnya 70 orang maut dalam kes kebakaran hospital di India pada tahun ini. – REUTERS/ANTARA










