HWASEONG, Korea Selatan: Pandemik Covid-19 yang melanda dunia menyaksikan 1.6 juta pekerja dalam sektor pelancongan kehilangan pekerjaan di lima negara Asia pada tahun lalu.
Menurut laporan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO), sebanyak satu per tiga kehilangan pekerjaan melibatkan sektor pelancongan di Filipina, Vietnam, Thailand, Brunei dan Mongolia terjejas teruk akibat koronavirus.
Laporan itu menyebut, kehilangan pekerjaan dalam sektor pelancongan empat kali ganda lebih tinggi berbanding industri lain dengan golongan wanita paling banyak terkesan.
Pengarah Wilayah ILO untuk Asia dan Pasifik, Chihoko Asada-Miyakawa berkata, kesan yang dialami dalam sektor pelancongan akibat Covid-19 boleh disifatkan seperti ‘malapetaka kecil’.
“Biarpun ada negara yang mengutamakan program vaksinasi dan membuka sempadan secara perlahan-lahan, jumlah peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan tidak akan sama seperti sebelum pandemik Covid-19.
“Keadaan itu juga dijangka berterusan selama beberapa tahun akan datang,” katanya.
Brunei menunjukkan jumlah pengurangan pekerjaan paling banyak dalam sektor pelancongan, iaitu menyusut 40 peratus.
Di Filipina, pekerjaan dalam industri pelancongan berkurangan sebanyak 28 peratus, Thailand (20 peratus) Vietnam (18 peratus) dan Mongolia (17 peratus).
Jumlah kemasukan pelancong ke kebanyakan negara Asia juga merosot 99 peratus.