JAWA BARAT: Penduduk setempat dikejutkan dengan penemuan bahan peledak Aseton Peroksida, TATP atau dikenali ‘Mother of Satan’ sebanyak 35 kilogram oleh Pasukan Anti-Keganasan Polis Indonesia, Densus 88 di kaki Gunung Ciremai di Desa Bataragung, Sindangwangi, Majalengka.
Bahan peledak yang kerap digunakan oleh pengganas dalam pembuatan bom ditemukan di sebuah lokasi tersembunyi Jumaat lalu, terletak sejauh tujuh kilometer dari Dusun Malarhayu yang merupakan pemukiman terakhir di kawasan tersebut, lapor Detik.com.
Seorang penduduk dikenali sebagai Parman tidak menyangka ada bahan peledak tersimpan di kawasan yang dipenuhi semak-samun itu.
Pada mulanya penduduk tidak menyangka kehadiran ramai anggota polis Khamis lalu, bertujuan melakukan pencarian bahan letupan yang disimpan oleh banduan pengganas, Imam Mulyana.
Disebabkan itu, ramai penduduk tertanya-tanya mengenai tujuan kehadiran pihak berkuasa ke kampung mereka.
“Semasa saya hendak pulang ke rumah, pihak polis bertanya sama ada mengetahui tentang Karang Lenang.
“Tempat itu kerap dikunjungi oleh orang ramai kerana sering dijadikan sebagai tapak perkemahan dan mempunyai pemandangan yang cantik,” katanya.
Dia hanya menyangka pihak polis mahu melihat kawasan itu kerana melihat mereka membawa makanan dan minuman.
Namun, sehari selepas itu, rupa-rupanya pihak polis mencari bahan letupan TATP di lokasi tersebut dan melarang penduduk merakamkan sebarang gambar atau video.