JAKARTA: Seorang pemuda menerima pujian warga maya disebabkan kebaikan dan kejujurannya menyerahkan segumpal wang yang ditemukan di atas mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank.
Ahmad Maksum menyerahkan wang tersebut kepada pengawal keselamatan di bank itu untuk diserahkan kepada pemilik asal.
Kejadian itu berlaku di mesin ATM BRI Karang Asem Barat, Bogor, lapor Tribunnews.
Peristiwa yang jarang berlaku itu dirakamkan oleh pegawai bertugas sehingga menjadi tular dalam media sosial.
Warga maya ternyata teruja dengan memuji sikap Ahmad Maksum.
Dia malah langsung tidak mengira jumlah wang yang ditemukan itu semasa hendak melakukan transaksi di mesin ATM tersebut.
“Saya menyerahkan wang itu supaya tidak diambil oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Peristiwa itu turut menerima pujian daripada pihak bank BRI.
Ketua Sub-Cawangan BRI Karang Asem Barat, Ibnu Wibowo berkata, identiti pemilik wang itu akhirnya berjaya dikenal pasti sebagai Iskandar Hidayat selepas pihak bank menjalankan pemeriksaan.
“Kami ingin menyampaikan penghargaan kepada Ahmad Maksum disebabkan kejujurannya memulangkan semula wang tersebut kepada pengawal keselamatan,” katanya.










