Pelakon Rusia jalani penggambaran filem di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) - Utusan Malaysia

Pelakon Rusia jalani penggambaran filem di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS)

YULIA PERESILD menghadiri latihan di Pusat Latihan Angkasawan Gagarin, Moscow. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Seorang pelakon Rusia bakal berlepas ke Stesen Ang­kasa Lepas Antarabangsa (ISS) bagi menjalani penggambaran filem yang pertama kali dilakukan di luar angkasa lepas, esok.

Yulia Peresild, 37, akan ditemani dua angkasawan dan pengarah filem itu, Klim Shipenko yang akan menaiki Soyuz MS-19 ke ISS.

Perjalanan dari orbit bumi itu mencecah jarak 354 kilometer dan angkasawan profesional turut ditampilkan dalam filem berjudul Challenge.

“Filem ini mengisahkan cerita rakyat biasa yang merupakan seorang doktor.

“Dia tidak pernah terbayang mendapat tawaran ke ISS dan menyelamatkan nyawa angkasawan,” kata Shipenko.

Shipenko yang mempunyai ketinggian 1.9 meter berkata, antara cabaran yang dihadapi adalah dia berasa tidak selesa semasa berada di dalam kapal angkasa lepas disebabkan ke­tinggiannya.

Peresild pula berkata, dia perlu mempelajari menata rias wajah dan memilih kostum sendiri sepanjang berada di ISS.

“Pengalaman itu tidak akan sama seperti berada di bumi. Kami akan berusaha memberikan yang terbaik,” jelasnya.

Agensi angkasa lepas Rusia, Roscosmos mengumumkan projek itu, Mei lalu.

Pelancaran itu hanya beberapa minggu selepas SpaceX membawa kru orang awam pertama ke angkasa lepas sekali gus menyaksikan perlumbaan antara Rusia dan Amerika Syarikat dalam eksplorasi ruang angkasa.

Pelakon sensasi, Tom Cruise juga dilaporkan merancang mengadakan penggambaran filem di ruang angkasa lepas tahun ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN