Pandora Papers: ‘Kami tidak lakukan apa-apa kesalahan’ - Utusan Malaysia

Pandora Papers: ‘Kami tidak lakukan apa-apa kesalahan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Beberapa pemimpin dunia tampil menafikan melakukan kesalahan selepas pendedahan besar membabitkan dokumen kewangan syarikat luar pesisir pelbagai negara.

Pandora Papers yang me­ngandungi hampir 12 juta dokumen kewangan merupakan pendedahan paling besar dalam sejarah.

Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Raja Jordan, Raja Abdullah II Al-Hussein antara 35 pemimpin dan bekas pemimpin yang dikaitkan dengan dokumen tersebut.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu menerusi kenya­taan menegaskan tidak melakukan kesalahan.

Lapor BBC, menurut istana Jordan, isu Raja Abdullah memiliki hartanah di luar negara dilihat bukan sesuatu yang luar biasa mahupun kesalahan.

Dokumen didedahkan itu menunjukkan pemimpin tersebut secara diam-diam mem­belanjakan lebih 70 juta pound (RM395 juta) untuk mengumpul hartanah di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) sejak 1999.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov pula mempersoalkan kredibiliti maklumat ‘tidak berasas’ itu selepas dokumen tersebut memperincikan kekayaan tersembunyi berkaitan Putin dan golongan dalamannya.

“Buat masa ini, tidak jelas apa maklumat itu dan mengenai apa sebenarnya,” katanya sambil menambah pihaknya tidak melihat sebarang kekayaan tersembunyi orang dalaman Putin dalam perkara tersebut.

Data itu diperoleh oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) di Washington, yang bekerjasama dengan lebih 140 organisasi media dalam penyelidikan terbesar di peringkat global.

Sementara itu, Perdana Menteri Czech, Andrej Babis menerusi ciapan menegaskan beliau tidak pernah melakukan perkara yang salah atau melanggar undang-undang.

Katanya, dakwaan tersebut merupakan usaha untuk mempengaruhi pilihan raya yang bakal diadakan minggu ini.

Presiden Kenya, Uhuru Ke­nyatta berkata, siasatan akan membantu meningkatkan ke­telusan dan keterbukaan kewangan yang diperlukan di negara itu dan seluruh dunia.

Beliau berjanji respons secara komprehensif terhadap pendedahan itu sebaik sahaja pulang dari lawatan luar negara.

Pejabat Presiden Chile memaklumkan Sebastian Pinera menafikan terlibat atau mempunyai sebarang maklumat berhubung penjualan projek perlombongan Dominga.

Lapor The Guardian, setakat ini, Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev dan ahli keluarganya masih belum memberi sebarang maklum balas mengenai pendedahan tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN