NEW DELHI: Individu terkaya di Asia, Mukesh Ambani akan membuka rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven di seluruh India.
Hartawan yang memiliki empayar perniagaan Reliance Industries itu akan membuka kedai serbaneka pertama di Mumbai, Sabtu ini, lapor BBC.
Pengumuman terbaharu mengenai perjanjian perniagaan francais itu dilakukan selepas beberapa hari syarikat pesaing di India, Future Group menamatkan perjanjian dengan syarikat peruncitan yang dimiliki oleh Amerika Syarikat.
Rangkaian perniagaan 7-Eleven berpusat di Texas memiliki lebih 77,000 cawangan di 18 negara seluruh dunia.
Reliance Retail Ventures dalam kenyataan memaklumkan, rangkaian kedai serbaneka akan dilancarkan segera di kawasan kejiranan utama dan kawasan komersial di seluruh Mumbai.
Presiden SEI, Joe DePinto berkata, India adalah negara kedua terbesar di dunia yang menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang pesat.
“Ini adalah masa yang sesuai bagi perniagaan kedai serbaneka terbesar di dunia memasuki pasaran India,” katanya.
Perjanjian dengan Future Group pada 2019 terpaksa ditamatkan lebih awal bulan ini selepas syarikat itu tidak dapat memenuhi sasaran pembukaan cawangan dan pembayaran caj francais.
Dengan perolehan berjumlah AS$21 bilion (RM84 bilion) Reliance Retail Ventures merupakan perniagaan peruncitan paling menguntungkan dan terbesar di India.
Ambani merupakan Pengasas dan Pengerusi Reliance Industries yang menjalankan perniagaan berkaitan petrokimia, minyak, gas, telekomunikasi dan peruncitan.
Bilionair itu dilaporkan mempunyai aset terkumpul AS$99 bilion (RM396 bilion).










