fbpx

Facebook memudaratkan kesihatan mental kanak-kanak

FRANCES Haugen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang bekas kakitangan Facebook mendakwa laman sesawang dan aplikasi syarikat gergasi media sosial itu `memudaratkan kesihatan kanak-kanak, mencetuskan perpecahan dan melemahkan sistem demokrasi di Amerika Syarikat (AS)’.

Lapor BBC, Frances Haugen, 37, yang merupakan bekas pengurus produk syarikat itu mengkritik Facebook dalam satu sesi pendengaran yang dihadiri penggubal undang-undang AS di Capitol Hill.

Facebook bagaimanapun menyelar dan menegaskan Haugen hanya memaklumkan mengenai bidang yang tidak diketahuinya.

Isu ini berlaku di tengah-tengah pemantauan yang semakin meningkat terhadap syarikat itu dan gesaan untuk mengawalnya.

Dilaporkan, Senator dari parti Demokrat dan Republikan bersepakat menyuarakan kritikan terhadap Facebook dalam sesi pendengaran itu.

Haugen menerusi temubual dengan CBS News menyatakan dia sudah berkongsi sejumlah besar dokumen dalaman syarikat Facebook dengan Wall Street Journal (WSJ) sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, dengan menggunakan dokumen tersebut, WSJ melaporkan kajian yang dijalankan menunjukkan aplikasi itu boleh memudaratkan kesihatan mental kanak-kanak dan remaja perempuan.

“Kepemimpinan syarikat tahu untuk menjadikan Facebook dan Instagram lebih selamat namun tidak akan melakukan perubahan diperlukan itu kerana mereka mengutamakan keuntungan berbanding kepentingan orang ramai,” katanya.

Haugen turut mengkritik pengasas bersama Facebook, Mark Zuckerberg kerana mempunyai kawalan yang luas.

Katanya, ketika ini tiada mana-mana individu yang meletakkan Zuckerberg bertanggungjawab dalam perkara tersebut.

Sementara itu, Facebook menafikan dakwaan Haugen dan mempertahankan rekod keselamatan syarikat tersebut.

Namun, syarikat itu bersetuju dengan cadangan untuk menetapkan peraturan standard bagi internet. – AGENSI

POPULAR

KOSMO! TERKINI