Densus 88 tak wajar dibubarkan - Utusan Malaysia

Densus 88 tak wajar dibubarkan

SENARAI nama mangsa pengeboman Bali diabadikan dalam monumen di Kuta, Denpasar, Bali.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALI: Ketua Agensi Pencegahan Keganasan Kebangsaan (BNPT), Boy Rafli Amar membantah cadangan anggota Dewan Perwakilan Rakyat dari Parti Gerindra, Fadli Zon yang mahu Pasukan Anti-Keganasan Polis Indonesia, Densus 88 dibubarkan. 

Boy berkata, Densus 88 memainkan peranan penting dalam penguatkuasaan undang-undang bagi menyiasat jenayah keganasan, lapor Kompas.com. 

“Densus 88 masih diperlukan dalam membanteras jenayah keganasan. Siapa yang akan menguatkuasakan undang-undang kalau ia dibubarkan?” soalnya selepas menghadiri majlis memperingati Ulang Tahun ke-19 pengeboman Bali di Kuta. 

Menurut Boy, peranan dan fungsi Densus 88 adalah berbeza dengan BNPT dalam mencegah keganasan. 

Jelasnya, BNPT lebih berfokus melakukan pencegahan, kerjasama dan penyelarasan dalam konteks pembangunan kesejahteraan masyarakat agar lebih berwaspada. 

“Adalah lebih baik Densus 88 beroperasi seperti biasa kerana sistem perundangan sudah termaktub seperti sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, Fadli mencadangkan Densus 88 dibubarkan kerana penubuhan pasukan itu didakwa menimbulkan sentimen Islamophobia dalam kalangan masyarakat. 

Cadangan itu menimbulkan bantahan daripada bekas mangsa serangan Bom Bali .

Sebagai individu yang pernah menjadi mangsa serangan pengganas, Suyanto berkata, cadangan itu adalah tidak waras. 

“Saya kira orang tidak waras sahaja mengemukakan cadangan pembubaran itu kerana mereka sudah terpengaruh dengan radikalisme.

“Bertahun-tahun mangsa masih trauma dengan peristiwa pengeboman itu. Bahkan, sebahagian mangsa terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan untuk terus hidup,” luahnya. 

Suyanto berkata, Densus 88 selama ini sangat membantu dalam mencegah serangan ganas di Indonesia, bahkan pasukan itu perlu diberikan keutamaan. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.