NEW YORK: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan antara 80,000 hingga 180,000 petugas kesihatan maut diseluruh dunia akibat Covid-19.
WHO menyifatkan kematian petugas perubatan dalam jumlah yang signifikan itu merupakan ‘kehilangan besar kepada dunia’.
Agensi tersebut sebelum itu mengeluarkan data Covid-19 antara Januari 2020 dan Mei 2021, dengan jumlah kematian keseluruhan adalah 3.45 juta orang di seluruh dunia.
Dianggarkan kira-kira 135 juta orang berkhidmat dalam bidang perubatan dan kesihatan di seluruh dunia.
Selain itu, WHO memberi amaran bahawa petugas kesihatan juag berdepan dengan keletihan dan kemurungan akibat pandemik yang berlaku.
Biarpun golongan itu diberi keutamaan di seluruh dunia dalam program vaksinasi, masih ada negara yang kekurangan bekalan vaksin, sekali gus menyebabkan mereka tidak mendapat vaksinasi lengkap.
“Kita mempunyai kewajipan moral untuk melindungi semua petugas kesihatan dan memastikan mereka berkhidmat dalam keadaan selamat.
“Hal itu termasuklah akses kepada vaksinasi lengkap,” kata Pengarah Jabatan Kesihatan Tenaga Kerja WHO, Jim Campbell.
Sehingga September 2021, data daripada 119 negara menunjukkan kurang dari satu dalam 10 petugas kesihatan sudah menerima vaksinasi lengkap di Afrika dan Pasifik Barat.